Followers

Monday, April 13, 2015

Merancang anak hebat seperti Maryam 100 tahun sebelum kelahiran

Image result for strong baby girl
Merancang anak sebaik saja berkahwin memang menyeronokkan. Anak menambah seri rumahtangga dan penguat cinta suami isteri, juga sandaran di hari tua. Lebih penting, anak adalah pelaburan terbesar menuju akhirat. Bukankah doa anak soleh termasuk dalam pahala yang kekal mengalir walau dah mati?

Tokoh besar dalam Islam juga merancang kelahiran anak yang jadi pewaris mereka. Mereka merancang jauh lebih awal. Hinggakan ada pepatah yang lebih kurang berbunyi "merancang anak 100 tahun sebelum kelahiran". Hebatkan? Jika anda menurut contoh perancangan keluarga Imran seperti yang dinukil dalam Al-Quran, pasti yang lahir adalah wanita sehebat Maryam dan disambung keturunan sesuci Isa a.s.

Kisah keluarga Imran disebut dalam dua surah dalam Al-Quran. Surah Al-Imran dan Surah Maryam. Bayangkan betapa banyak dan besar ibrah dari keluarga ini. Surah Maryam mudah-mudahan tidak lagi hanya dibaca dengan niat agar senang beranak :)


Imran dan isterinya, Hannah sangat berharap dikurniakan anak lelaki. Hinggakan Hannah bernazar anak itu akan diwakafkan untuk berabdi kepada Allah sepenuhnya. Nazar ini jika difahami, anak yang diharap bukan sekadar menjadi penyambung zuriat, tetapi sebenarnya menjadi hamba Allah, berbakti pada agama di seluruh hidupnya. Menjaga Masjidil Aqsa, institusi terpenting pembangunan ummah. Inilah harapan terbesar ibubapa yang soleh. Harapan ibubapa yang berwawasan akhirat.
(Ingatlah) ketika isteri Imran berkata, "Ya Tuhanku, sesungguhnya aku bernazar kepada-Mu, apa (janin) yang ada dalam kandunganku (kelak) menjadi hamba yang mengabdi kepada-Mu, maka terimalah (nazar itu) dariku. Sungguh, Engnkaulah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui."  (Al-Imran, 35)

 Sebaik mana manusia merancang, rancangan Allah lebih baik. Kandungan yang disangka anak lelaki rupanya perempuan. Namun Hannah redha. Dinamakan puterinya Maryam  dan didoakan dia selamat dari gangguan syaitan. Nazar tetap ditunaikan. Maryam diletakkan di Masjidil Aqsa di bawah jagaan pamannya, Nabi Zakaria a.s.
Maka ketika melahirkannya, dia berkata, "Wahai Tuhanku, aku telah melahirkan anak perempuan." Padahal Allah lebih tahu apa yang dia lahirkan, dan laki-laki tidak sama dengan perempuan. "Dan aku memberinya nama Maryam, dan aku mohon perlindungan-Mu untuknya dan anak cucunya dari (gangguan) syaitan terkutuk."  (Al-Imran, 36)

Maryam membesar sebagai wanita suci dan solehah. Beribadah sepanjang hidupnya di timur Masjidil Aqsa, sesuai dengan maksud namanya dan apa yang diniatkan ibunya. Tuhan menghadiahkannya dengan hidangan enak dari langit hinggakan Nabi Zakaria kehairanan. Kisah ini bersambung kemudiannya dalam Surah Maryam :). Disambung dengan kisah kelahiran Nabi Isa a.s yang penuh keajaiban dan cabaran.
Maka Dia (Allah) menerimanya dengan penerimaan yang baik, membesarkannya dengan pertumbuhan yang baik, dan menyerahkan pemeliharaannya kepada Zakaria. Setiap kali Zakaria masuk menemuinya di mihrab, dia dapati makanan di sisinya. Dia berkata, "Wahai Maryam! Dari mana engkau peroleh?" Dia (Maryam) menjawab, "Itu dari Allah." Sesungguhnya Allah memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki tanpa perhitungan."  (Al-Imran, 37)
Ibrah yang boleh dikutip dari 3 ayat dalam Surah Al-Imran ini dalam merancang kelahiran anak sehebat Maryam:
  • Rancang kelahiran anak. Mulakan dari mendidik diri, memilih isteri/suami. Rancang masa depannya, dunia dan akhirat. Letakkan wawasan yang besar kerana Allah. harapan dan berdoa dengan sebaik-baik doa agar Allah rezekikan yang terbaik untuk anak tersebut. Seperti mana Imran merancang, dari memilih isteri (Hannah), hinggalah lahir Nabi Isa a.s dari keturunannya.
  • Sangka baik dengan perancangan Allah. Lambat dapat anak, dapat anak perempuan bila mahukan anak lelaki, pasti ada hikmah besar yang tak diketahui.
  • Redhalah dengan setiap takdir. Anak lelaki mahupun anak perempuan tiada bezanya, keduanya adalah rezeki dari Allah.
  • Namakan anak dengan nama yang baik.
  • Doakan anak dan keturunan akan datang agar selamat dari gangguan syaitan. Setiap anak Adam tidak terlepas dari dijamah tangan syaitan. Kerana itu, setiap bayi  menangis pada saat kelahirannya. Maka, bacakanlah "A'uzubillahi minassyaitonirrajim", seperti yang dibaca Hannah pada Maryam. Amalkan Al-Imran ayat 36 untuk keselamatan anak.
  • Perempuan dan lelaki boleh punya kedudukan yang sama di sisi Allah. Juga boleh menggalas tugas yang sama untuk agama.
  • Didikan setiap anak Muslim tidak boleh terpisah dari masjid.
  • Pendidikan dan pendidik adalah sama penting untuk melahirkan generasi cemerlang. Maryam dididik di Masjidil Aqsa dan dijaga seorang nabi Allah, Nabi Zakaria a.s.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...