Followers

Thursday, April 23, 2015

InsyaAllah yang disebut dalam Al-Quran

Insyaallah..ungkapan yang sering disebut. Namun, maksud yang terlintas di hati berbeza-beza ikut keadaan. Ketika betul-betul berharap dan yakin, disebut Insyaallah dengan harapan Allah memberi ruang dan rezeki untuk menepati keinginan/janji yang disebut. Adakalanya, tika tersepit untuk memenuhi janji, Insyaallah juga disebut sekadar pemanis mulut dan pelepas diri.

Jika diteliti dalam Al-Quran, ada beberapa kisah "Insyaallah" yang boleh diambil pengajaran.

  1. Insyaallah disebut dalam surah Al-Kahfi ketika Allah menegur Rasulullah SAW yang berjanji dengan kaum Quraisy untuk mendetilkan perihal pemuda Al-Kahfi, tanpa menyebut Insyaallah pada hujungnya. Di sini, kita dilarang berjanji walaupun telah yikin 100% kita mampu menunaikannya melainkan disertai dengan "Insyaallah". Semua perancangan hanya akan terlaksana dengan izin Allah.
  2. Insyaallah yang kedua disebut dalam surah Al-Kahfi ketika Nabi Musa meminta izin untuk megikut Khidir alaihissalam demi berguru dengannya. Namun, Nabi Khidir enggan kerana khuatir Musa as tidak akan mampu bersabar dengannya nanti kerana tidak faham niat sebenar di sebalik setiap perbuatannya, Nabi Musa kemudian meyakinkan Khidir dengan, "Insyaallah aku adalah orang yang sabar". Di sini adab ketika belajar.
  3. Kisah ketiga ialah mengenai Insyaallah yang dilafaz oleh Nabi Syuaib as kepada Nabi Musa as. "Insyaallah aku adalah orang yang menepati janji". Ketika ini, baginda meminta Musa untuk bekerja dengannya sebagai mahar perkahwinan dengan anak perempuannya. Setelah itu, Musa bebas untuk tidak lagi melakukan kerja tersebut. Kisah ini tercatit dalam surah Al-Qasas.
  4. Kisah keempat yang saya temui ialah ketaatan Nabi Ismail pada permintaan ayahnya Ibrahim. Ibrahim menceritakan perintah yang diterima melalui mimpi agar mengorbankan anak kesayangannya  dengan menyembelihnya. Ismail dengan tenang berkata, "Tunaikanlah perintah tersebut. Insyaallah aku adalah orang yang sabar dan taat."
Demikian kisah Insyaallah yang patut jadi panduan. Insyallah mengajar kita untuk merendah diri pada kebesaran dan ketentuan Allah. Ia jadi lafaz yang mesra dibibir orang-orang yang teruji dan orang-orang pilihan Allah. Semoga bermanfaat untuk kita jadikan ikutan.

2 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...